KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran keras kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Melaka yang dianggap berpaling tadah hingga menyebabkan krisis politik ketika ini.

Dalam sidang medianya, Ahmad Zahid menegaskan mereka yang mengkhianati kerajaan negeri ketika ini untuk bersedia menerima tindakan daripada parti termasuk surat pemecatan kepada mereka.

"Bagi ADUN-ADUN Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang mengkhianati kerajaan yang dipimpin oleh BN dan UMNO Melaka.

"Saya berharap, mereka bersedia menerima tindakan daripada parti (UMNO) bagi menerima surat pemecatan kepada mereka.

"Saya merasakan, persoalan utama sebagai mana yang berlaku di peringkat nasional dan berlaku di beberapa negeri, taat setia mana-mana wakil rakyat sama ada mereka terdiri daripada ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen hendaklah berfokus kepada taat setia kepada parti," katanya pada sidang media di Kompleks Parlimen, di sini hari ini. 

Dua ADUN UMNO yang telah berpaling tadah adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Norazman Hassan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali untuk menentukan jumlah Exco yang akan bersama beliau dalam melicinkan pentadbiran kerajaan sementara di Melaka.

"Pada hemat saya, tiga orang Exco Kerajaan Negeri yang telah hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri Melaka (Sulaiman), tentunya dapat memikirkan bahawa mereka tidak lagi harus berada bersama-sama dengan Sulaiman untuk melicinkan pentadbiran kerajaan negeri Melaka," katanya.

Selain Idris, dua lagi ADUN berportfolio kerajaan negeri yang berpaling tadah daripada pentadbiran Sulaiman adalah ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee.



[TERKINI] Sidang media perkembangan politik Melaka