SHAH ALAM: Tinggal dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang belum selesai pembahagiannya antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia belum dimuktamad dan akan diserah kepada kepimpinan di peringkat pusat untuk keputusan selanjutnya dalam masa terdekat.

"Setakat ini, boleh dikatakan 95 peratus pembahagian kerusi telah selesai dan boleh mula bekerja pada bila-bila masa.

"Sekarang ini, perbincangan (antara PH dan BN) juga sudah tamat dan baki membabitkan satu ke dua kerusi akan diserah kepada pimpinan peringkat pusat untuk dimuktamad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya Mega Selangor 2023 di sini hari ini.

PRN Selangor membabitkan 56 DUN manakala negeri lain yang terlibat ialah Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Amirudin juga berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) khas yang diadakan sejak Jumaat lepas adalah bagi memastikan beberapa perkara termasuk keputusan dasar dan pentadbiran dapat diselesaikan sebelum pembubaran DUN.

"Kita dah selesaikan majoriti isu yang tertunggak dan kini hanya tinggal 67 kertas kerja. Semasa kita ambil alih, saya ingat ada lebih 200 kes tertunggak yang tidak dimuktamad... (Ini) sebenarnya akan memberi kesan kepada dapatan hasil dan pergerakan terutama dalam hal pentadbiran serta ekonomi negeri.

"Setidaknya keputusan dasar tanah atau hal berkaitan pembangunan yang dimohon pemaju dapat diselesaikan dan mereka boleh membayar premium... Sekurang-kurangnya, kita tidak akan terkesan sangat dari segi kutipan hasil," katanya.

Beliau berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Kerajaan Negeri Selangor hanya mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion sedangkan sasaran asal ialah RM2.4 bilion.

"Tujuan kita mempercepat semua urusan (dalam MMKN khas) kerana dalam tempoh berkempen, pembubaran (DUN) sehinggalah kerajaan baharu dibentuk, kita akan ada hampir dua bulan kosong (tiada kerajaan). Ia akan memberi kesan kepada pendapatan negeri," katanya.

-- BERNAMA