PERKONGSIAN video di akaun TikTok Shilalas_united menarik perhatian apabila penyanyi Shila Amzah menunjukkan mikrofon berwarna ungu yang dibelinya mempunyai nama dan logo kelab peminat.

Menerusi perkongsian video itu, Shila memberitahu buat pertama kali dia membeli mikrofon pertama selepas berpuluh tahun menapak di dalam industri seni.

Harga Mikrofon

Biarpun tidak mendedahkan harga sebenar, Shila sempat memberi bayangan mengenai nilai mikrofonnya itu.

Kata penyanyi lagu Patah Seribu itu, harga mikrofonnya tersebut sama seperti harga sebuah kereta yang baharu.

“Macam inilah, mungkin boleh dapat kereta Malaysia atau lebih kurang dengan harga kenderaan terpakai buatan Jepun,” katanya.




Rata-rata netizen turut meluahkan rasa gembira melihat pencapaian Shila selama menjadi anak seni selain mengatakan penyanyi itu wajar membeli mikrofon tersebut meskipun harganya mahal.

Hasil semakan Gempak, harga mikrofon tersebut berkemungkinan mencecah sekitar RM40,000. -- Gempak