Ringkasan AI
- Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan PBT diarahkan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir besar semasa fasa peralihan monsun.
- Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang didaftarkan pada 2021 akan diaktifkan semula jika banjir berlaku.
- Usaha meningkatkan pengaliran dan saliran di kawasan berisiko banjir akan diperkemaskan, dengan fokus pada kerja-kerja membaiki dan menaik taraf saliran sebelum waktu kemuncak monsun.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang telah didaftarkan bagi menempatkan mangsa banjir pada 2021 juga akan diaktifkan semula sekiranya banjir berlaku.
"Kita juga akan memperkemaskan lagi usaha meningkatkan pengaliran dan saliran di kawasan-kawasan berisiko banjir kecuali jika terjadi kadar turun hujan yang sangat tinggi sebagaimana sebelum ini.
Selain itu, PPS lama yang telah didaftarkan akan kita aktifkan semula sebagaimana ketika banjir buruk pada 2021," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Tengah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Jumaat lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun yang diramal melanda di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak dijangka berterusan sehingga November ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan menjadikan bencana banjir pada 2021 yang disifatkan paling buruk sebagai parameter dalam merangka langkah persediaan dan kesiapsiagaan negeri bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana itu semasa tempoh peralihan monsun.
Beliau berkata perkara itu turut dibangkitkan semasa Dialog Belanjawan Selangor 2024 pada Selasa lepas yang mahu semua jabatan dan agensi berkaitan menggerakkan langkah-langkah kawalan sebelum banjir melanda.
"Selain mengaktifkan PPS, Unit Pengurusan Bencana Negeri juga perlu memberi tumpuan terhadap kerja-kerja membaiki dan menaik taraf saliran dan perparitan di kawasan kerap berlaku banjir... semua ini perlu dilakukan segera sebelum berhadapan waktu kemuncak iaitu sekitar November atau Disember nanti," katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata tiada PPS dibuka susulan banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan rendah di sekitar Jalan Kebun, Seri Muda dan Kota Kemuning petang semalam.
Beliau berkata walaupun kadar turun hujan semalam mencapai 119 milimeter (mm) iaitu melebihi kadar biasa, namun situasi banjir di kawasan berkenaan hanya berlangsung dalam tempoh tidak sampai dua jam dan reda selepas itu.
"Kadar hujan yang tinggi menyebabkan berlaku banjir kilat dan keadaan itu berlangsung tidak lama, menyaksikan tiada pemindahan mangsa dan situasi masih terkawal," katanya.
-- BERNAMA