SUNGAI BULOH: Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 adalah langkah intervensi Kerajaan bagi memastikan menghalang pergerakan harga yang tidak terkawal di musim perayaan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau berharap agar syarat-syarat dalam skim itu dipatuhi, terutamanya bagi kawalan harga barang.

Selain itu beliau berkata, orang ramai digesa untuk membuat laporan sekiranya terdapat peniaga yang masih ingkar, atau sengaja tidak mempamerkan harga jualan.

“SHMMP ini seperti sedia maklum, kita meletakkan harga maksimum untuk harga borong, harga runcit dan harga ladang. Pemeriksaan di pasar raya ini, hari ini, kita lihat mereka patuh dengan harga tersebut malahan mereka meletakkan harga yang lebih rendah,” katanya.

“Langkah ini adalah langkah berterusan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan kita berharap agar pematuhan terhadap syarat-syarat ini ketika musim perayaan terutamanya bagi kawalan harga barang dan pelaporan ini penting jika ada isu-isu tertentu, sebagai contoh ada kes menyembunyikan bekalan ataupun tidak terdapat bekalan di mana-mana,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menjalankan pemeriksaan pematuhan penguatkuasaan pelaksanaan SHMMP bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor sempena TBC 2025 yang berkuat kuasa selama sembilan hari bermula 25 Januari hingga 2 Februari di sebuah pasar raya di Kota Damansara di sini.

Turut hadir pada pemeriksaan pematuhan itu ialah Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Mohd Khairi Jamaludin.

Pada masa sama, Amirudin berkata, peniaga yang gagal mematuhi SHMMP boleh dikenakan denda agak tinggi, iaitu RM100,000 untuk individu, dan sehingga RM500,000 untuk syarikat.

Selain membolehkan pengguna menikmati 15 jenis barangan pada harga kawalan sepanjang tempoh musim perayaan, Amirudin berkata, skim tersebut juga telah memperluas manfaat kepada rakyat Selangor melalui penglibatan inisiatif Program Jualan Rahmah Madani (PJRM).

“Lebih 1,600 jualan telah dilaksanakan pada tahun 2024 dan sebahagian daripada jualan-jualan tersebut merupakan kerjasama pula dengan JER (Jualan Ehsan Rakyat) yang dijalankan di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS)

“PKPS adalah rakan strategik (KPDN) dan insya-Allah tahun ini menurut KPDN, jualan akan mencecah 2,000 berdasarkan lokasi, ada yang statik dan ada yang bergerak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, KPDN Selangor dalam kenyataan susulan berkata, pihaknya akan terus konsisten melaksanakan pemeriksaan pematuhan sepanjang skim berkuatkuasa.

"Antara perkara yang diberi tumpuan dalam pemeriksaan pematuhan adalah penggunaan tanda harga berwarna merah jambu. 

"Pematuhan penggunaan tanda harga khas (tersebut) wajib dipatuhi untuk memudahan urus niaga pengguna di peringkat runcit dan borong bagi mengenal pasti jenis barang yang terlibat di bawah skim ini," menurut kenyataan itu lagi.