SHAH ALAM: Selangor terus menjadi negeri contoh dalam mengembangkan inisiatif teknologi dan inovasi yang menyokong pembangunan ekonomi negara, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata Program Kecerdasan Buatan (AI) Trailblazers merupakan antara langkah strategik yang dilakukan kerajaan negeri dalam mendukung Malaysia menjadi pesaing dalam ekonomi global.

Katanya program dengan kerjasama Google itu adalah bagi membangunkan aplikasi AI serta penubuhan Selangor AI Incubator Centre yang menyediakan latihan dan pendidikan AI berkualiti tinggi.

"Selangor juga memacu pertumbuhan dalam industri cip dengan pembangunan Semiconductor IC Design Parks di Puchong dan Cyberjaya.

"Selain itu, Selangor turut meneroka potensi tenaga boleh diperbaharui melalui Payung Solar Farm dan projek Sisa Jadi Tenaga atau Waste-to-Energy (WTE)," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Amirudin berkata Selangor akan terus melangkah ke hadapan dalam menghadapi gelombang ekonomi yang mendatang dengan memberi impak terhadap ekonomi Malaysia dan dunia menerusi teknologi dan inovasi.

"Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kita akan pastikan Selangor kekal di dalam rentak dan gelombang pembangunan ekonomi Malaysia yang kian rancak," katanya.


-- BERNAMA