Ringkasan AI
- Sebanyak 602 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi bersepadu di Pusat Perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25, yang diketuai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
- Mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 53 tahun dan ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat permit, dan tinggal lebih masa.
- Operasi ini melibatkan 445 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan, dan akan dijalankan secara berterusan untuk mengawal kemasukan dan lambakan warga asing di Selangor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kesemua yang berusia antara 19 hingga 53 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Beliau berkata antara kesalahan ialah tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat permit dan tinggal lebih masa dengan kesemuanya dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
"Menerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor, kita (Kerajaan Selangor) telah mengambil satu keputusan untuk dilaksanakan satu Operasi Bersepadu melibatkan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang diselaraskan di bawah Jawatankuasa Perancang Gerakan Negeri.
"Daripada maklumat serta dapatan siasatan menunjukkan masih terdapat lambakan warga asing yang dikhuatiri melanggar akta-akta imigresen dan kesalahan lain," katanya.
Amirudin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor ditemui pemberita di lokasi serbuan berkenaan.
Operasi terbabit tamat kira-kira 2.30 petang selepas hampir dua jam dilaksanakan.
Beliau berkata operasi berkenaan dengan koordinasi yang baik antara pasukan terlibat akan dijalankan berterusan bagi mengawal kemasukan dan lambakan warga asing di seluruh Selangor.
Operasi itu melibatkan kekuatan 445 pegawai dan anggota diketuai JIM dibantu Pasukan Gerakan Am Briged Tengah, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Bandaraya Shah Alam.
-- BERNAMA