SHAH ALAM: Selangor akan meneliti laporan penuh insiden runtuhan tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau (Peringkat 1) sebelum membuat sebarang keputusan berhubung penyambungan semula projek berkenaan.


Ringkasan AI
  • Selangor akan meneliti laporan penuh insiden runtuhan tebing sungai di projek Skim Bekalan Air Sungai Rasau sebelum membuat keputusan mengenai penyambungan semula projek.
  • Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri telah melawat lokasi untuk menyiasat dan mengenal pasti nilai kerugian, dengan kos kerugian dijangka ditanggung oleh insurans.
  • Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd akan mengetuai siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian, dengan laporan lengkap dijangka dalam masa tiga bulan.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Ir Izham Hashim telah ke lokasi berkenaan semalam bagi menyiasat dan mengenal pasti nilai kerugian akibat kejadian itu.

"Kita perlu siasat dahulu ... semalam exco berkenaan sudah melawat tempat kejadian bagi melihat secara dekat kesan runtuhan.

"Kalau melibatkan kelemahan struktur yang dibina oleh pemaju berkenaan atau kontraktor yang diberi tanggungjawab, saya rasa setiap projek ada insuran," katanya kepada pemberita selepas melawat Akademi Bateriku.Com di sini hari ini

Amirudin berkata dengan perlindungan insurans pastinya kos kerugian bagi kerosakan berkenaan akan ditanggung atau dibayar oleh syarikat insurans.

Bagaimanapun, beliau membayangkan kemungkinan tiada peningkatan kos yang ketara kerana insiden itu hanya melibatkan runtuhan ban atau tebing sungai namun keputusan muktamad mengenai status projek dapat dibuat setelah laporan penuh kejadian diterima kelak.

Semalam, Izham dilaporkan berkata siasatan komprehensif untuk mengenal pasti punca kejadian itu akan diketuai Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang telah melantik konsultan yang mempunyai kepakaran bidang berkaitan bagi kerja-kerja penyiasatan itu.

Beliau berkata laporan lengkap untuk mengenal pasti punca insiden itu akan dikemukakan dalam masa tiga bulan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Sabtu lepas, tebing di projek berkenaan runtuh menyebabkan limpahan air sungai memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan namun tiada kecederaan dilaporkan.

-- BERNAMA