Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini mendesak Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya berhubung isu hukum hudud dan konsep negara Islam yang ingin dilaksanakan PAS, sekutunya dalam pakatan pembangkang.

Sebagai calon "perdana menteri" pakatan pembangkang, Anwar perlu menyatakan pendiriannya mengenai isu kontroversi dan kritikal itu, katanya.

Katanya hasrat pemimpin PAS untuk melaksanakan hudud dan konsep negara Islam telah menjejaskan persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang dan mengakui dua isu itu akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

"Beliau (Anwar) perlu nyatakan pendiriannya. Saya fikir rakyat mahu mendengarnya. (Penasihat DAP) Lim Kit Siang dan (Setiausaha Agung DAP) (Lim) Guan Eng telah menyatakan pendirian parti, mereka tidak sokong hudud, mereka tidak sokong negara Islam," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Karpal berkata beliau menyatakan pendirian DAP berhubung isu itu bukan sahaja sebagai pendirian peribadinya tetapi juga bagi pihak parti.

Baru-baru ini, Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din berkata parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang diberi mandat memerintah negara kelak.

Bagaimanapun kenyataan itu disanggah oleh Karpal yang berkata DAP tetap menentang pembentukan negara Islam yang mengamalkan undang-undang hudud.

Sementara itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini mencabar penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng agar menyatakan pendirian rasmi mengenai hukum hudud.

Koh berkata kedua-dua pemimpin DAP itu tidak menyatakan secara jelas sama ada mereka menyokong atau menentang pendirian PAS mengenai hudud, atau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh.

"PAS kata pandangan Karpal Singh mengenai hudud tidak penting. Sehubungan itu pemimpin atasan DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mesti menyatakan pendirian mereka secara jelas mengenai hudud," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din baru-baru ini dilapor berkata hudud akan dilaksana jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum ini walaupun ada bantahan keras daripada Karpal.

PAS dikatakan bersungguh-sungguh mengenai hukum hudud susulan kesediaan DAP menggunakan simbol PAS apabila parti sekutu mereka itu sebelum ini menghadapi masalah menggunakan simbol roketnya pada pilihan raya umum kali ini.