KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terkesan dengan pemergian sahabatnya bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Ahmad Mohd Don yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata sebelum menjadi Gabenor Bank Negara, Ahmad adalah Ketua Pengarah Eksekutif Maybank dari 1991 hingga 1994.

"Mendoakan kekuatan buat keluarganya atas ujian yang getir ini dan semoga rohnya diberi keampunan oleh Allah SWT serta rohnya diberikan tempat yang terbaik oleh-Nya," kata beliau dalam hantaran itu.

Terdahulu, anak sulung Allahyarham iaitu Shahril Hafiz, 48, dipetik sebagai berkata ayahnya dibawa pulang ke rumah di Kampung Stulang Baru, Majidee di Johor Bahru dari Kuala Lumpur pada 8 malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 1.55 pagi.

Beliau berkata Ahmad dimasukkan ke wad unit rawatan rapi sebuah hospital swasta di ibu kota kira-kira dua minggu lepas setelah mengalami masalah komplikasi jantung.

-- BERNAMA