KOTA KINABALU: Tindakan pihak pembangkang menolak memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada mereka tidak bererti rundingan berhubung perkara itu telah tamat, kata jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Menteri Komunikasi itu berkata ini kerana kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama atau rundingan dengan pihak pembangkang.

"Malah sejak hari pertama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengangkat sumpah, beliau telah membuka pintu seluas-luasnya untuk mengadakan kerjasama atau sesi rundingan.

"Pihak kerajaan bersedia sekiranya pihak pembangkang ingin meneruskan rundingan berkenaan MoU itu dan Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof juga telah memaklumkan bahawa kita menunggu maklum balas serta kertas cadangan daripada pihak pembangkang," katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Seni Tradition In Tune 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Semalam, pembangkang sebulat suara menolak draf MoU itu atas empat sebab asas yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta mendakwa beberapa syarat yang dikenakan dalam memorandum tersebut boleh menjejaskan antara lain hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera.

Fahmi juga berkata pihak pembangkang perlu bersuci hati dalam usaha mencapai persefahaman sepertimana yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika berada di tempat mereka.

"Ketika itu, dengan suci hati kami memasuki sesi rundingan dan akhirnya kebaikan datang bukan hanya kepada Ahli Parlimen PH tetapi juga kepada rakyat," katanya.

Mengulas mengenai Pesta Seni Tradition In Tune 2024, beliau berharap orang ramai menggunakan kesempatan itu untuk menyertai acara seperti pameran seni realiti maya, teater muzikal dan kejohanan e-sukan yang berlangsung hingga 18 Sept ini.

Beliau berkata acara yang diadakan sempena sambutan Hari Malaysia itu adalah anjuran Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

-- BERNAMA