Menurut hantaran di Facebook oleh Kedutaan Persekutuan Rusia di Malaysia, memorandum kerjasama ditandatangani semasa Persidangan Pelancongan Islam ke-4 baru-baru ini. Perjanjian itu ditandatangani oleh ketua Roskachestvo Maxim Protasov dan ketua pengarah Pusat Pelancongan Islam Nizran Noordin.
"Memorandum itu bertujuan untuk mengukuhkan dan membangunkan ekosistem mesra Muslim dalam sektor pelancongan. Rancangannya adalah untuk menyelaraskan keperluan pensijilan untuk hotel dan perniagaan hospitaliti dengan piawaian mesra Muslim," tambah catatan itu.
Menurut kedutaan, pada musim bunga 2024, "Roskachestvo-Halal" mula memperakui perkhidmatan pelancongan mengikut piawaian mesra Muslim, yang dibangunkan berdasarkan pengalaman antarabangsa lebih 30 negara.
Moscow, St Petersburg, Tatarstan, Dagestan dan kawasan lain di Rusia popular dalam kalangan pelancong Islam dan standard baharu akan memudahkan mereka memilih pilihan penginapan dan riadah yang selesa, kata siaran itu lagi.
Sementara itu, Pusat Pelancongan Islam menerusi Facebooknya berkata memorandum yang ditandatangani itu merupakan hasil utama Kumpulan Kerja Malaysia-Rusia yang diadakan semasa KazanForum pada Mei tahun ini. - BERNAMA