TOKYO: Bilangan penduduk berusia sekurang-kurangnya 100 tahun di Jepun dianggarkan mencecah 95,119 orang pada September, mencecah rekod tertinggi selama 54 tahun berturut-turut, menurut data kementerian kesihatan yang dikeluarkan pada Selasa.

Menurut Agensi Berita Kyodo, jumlah warga emas "centenarian" sehingga 15 Sept meningkat sebanyak 2,980 berbanding tahun sebelumnya, dengan wanita menyumbang 88.3 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 83,958 orang.

Maklumat ini dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan sehari selepas sambutan the Respect for the Aged Day di Jepun.

Sementara itu, pada Ogos lalu, Tomiko Itooka yang berusia 116 tahun diiktiraf dalam Buku Rekod Dunia Guinness sebagai individu tertua di dunia.

Beliau yang merupakan penduduk di Wilayah Hyogo dilahirkan pada 23 Mei 1908.

Jumlah lelaki yang mencapai usia 100 tahun ialah seramai 11,161 orang dengan lelaki tertua adalah Kiyotaka Mizuno, yang kini berusia 110 tahun.

Mizuno, seorang penduduk Wilayah Shizuoka, dilahirkan pada 14 Mac 1914.

Purata bilangan centenarian bagi setiap 100,000 penduduk di Jepun kini berada pada angka 76.49.

Kementerian turut memaklumkan purata jangka hayat di Jepun meningkat kepada 87.14 tahun bagi wanita dan 81.09 tahun bagi lelaki pada 2023, meningkat buat kali pertama dalam tempoh tiga tahun selepas wabak COVID-19.

Jumlah warga emas berusia 100 tahun di Jepun hanya 153 orang pada 1963, ketika pengumpulan data bermula. Angka itu melepasi 1,000 orang pada 1981 dan mencecah 10,000 pada 1998, sebahagiannya disebabkan oleh kemajuan perubatan.

"Kami akan terus berusaha meningkatkan perkhidmatan kebajikan sosial, termasuk penjagaan perubatan dan kejururawatan supaya golongan warga emas dapat terus hidup selesa dalam komuniti mereka sendiri," kata seorang jurucakap kementerian kesihatan. - BERNAMA