SEPANG: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi dua hari, yang merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada bulan Oktober lepas.

Pesawat khas yang membawa Ishiba, isterinya Yoshiko Ishiba dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 petang.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Duta Jepun ke Malaysia Shikata Noriyuki.

Sebaik tiba Ishiba melintasi barisan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Upacara) yang diketuai Kapten Muhammad Iskandar Dzulkarnaen Doa @ Hasan.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata Ishiba akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan pertemuan delegasi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada keesokan harinya.

Anwar dan Ishiba dijangka meninjau kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Jepun, terutamanya dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pembangunan sumber manusia, dan kerjasama tenaga.

"Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk situasi di Timur Tengah," kata Wisma Putra.

Selepas pertemuan, kedua-dua perdana menteri akan mengadakan sidang media bersama.

"Anwar juga akan menganjurkan majlis makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana bagi meraikan rakan sejawatannya dari Jepun," menurut kenyataan itu.

Hubungan Malaysia dengan Jepun telah berkembang pesat dengan peningkatan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Disember 2023.

Jepun merupakan rakan ekonomi utama bagi Malaysia, dengan sejumlah 2,821 projek pembuatan yang melibatkan penyertaan Jepun dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2024. Projek-projek ini mewakili pelaburan bernilai RM105.2 bilion (AS$30.4 bilion) dan telah mewujudkan 344,996 peluang pekerjaan.

Jepun adalah pelabur asing keempat terbesar dalam sektor pembuatan Malaysia dan rakan dagang keempat terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM156.75 bilion (AS$34.41 bilion) pada tahun 2023.

-- BERNAMA