KUALA LUMPUR: Pembaharuan menyeluruh termasuk mempercepat agenda reformasi institusi, memperkukuh mekanisme pemantauan serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan sumber awam perlu dilaksanakan dalam usaha pembanterasan rasuah di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kedudukan Malaysia yang kekal di tangga ke-57 sama seperti 2023 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 memberi isyarat bahawa reformasi struktur masih belum cukup berkesan.

"Walaupun tiada kemerosotan kedudukan Malaysia dalam CPI 2024, keputusan ini mencerminkan usaha pembanterasan rasuah masih belum cukup untuk membawa perubahan ketara dalam persepsi global terhadap tadbir urus negara," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.

Beliau berkata, perubahan yang lebih mendalam perlu dilaksanakan dalam semua sektor pentadbiran dan ekonomi negara sekiranya Malaysia ingin melonjak dalam kedudukan CPI pada masa hadapan.

Berikutan itu, MCW katanya, menggesa agar perbincangan berkaitan CPI tidak hanya tertumpu kepada rasuah semata-mata sebaliknya perlu merangkumi aspek tatakelola secara menyeluruh.

Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini mengumumkan kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 kekal di kedudukan ke-57, dan tidak berubah iaitu 50 mata sejak 2023.

Presiden TI-M, Muhammad Mohan berkata, skor itu meningkat daripada 47 pada 2022, meletakkan negara di tangga ke-57 secara global, berbanding ke-61 pada 2022.

Penilaian itu mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia dan CPI Malaysia diperoleh daripada sembilan tinjauan yang berbeza berdasarkan penilaian dari pakar perniagaan dan negara.

Sementara itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Sivamurugan Pandian berkata, kedudukan konsisten Malaysia di tangga ke-57 dengan skor CPI 50 sejak 2023 menunjukkan inisiatif kerajaan berada di landasan yang betul, namun usaha lebih giat diperlukan untuk mencapai sasaran kedudukan antara 25 negara teratas menjelang 2033.

Beliau turut menekankan CPI tidak boleh dijadikan satu-satunya penunjuk untuk menilai tahap rasuah di sesebuah negara, kerana ia berdasarkan kepada sembilan sumber global yang meliputi 180 negara.

"CPI tidak mengumpul maklum balas daripada orang ramai, dan ia juga tidak menilai rasuah dalam sektor swasta atau penyelewengan yang berkaitan dengan penipuan cukai dan aktiviti haram lain.

"Ini sebabnya mengapa saya percaya kita tidak boleh hanya bergantung pada CPI untuk mengukur tahap rasuah sebaliknya, ia perlu dijadikan panduan untuk memahami kedudukan kita di peringkat global," katanya.

Beliau berkata, faktor lain juga perlu diambil kira termasuk inisiatif kerajaan, usaha pelbagai agensi selain daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta perubahan sistemik yang diperkenalkan oleh kerajaan. - BERNAMA