WAKAYAMA (Jepun): Pihak pendakwa raya pada Isnin memohon hukuman penjara 15 tahun dikenakan terhadap seorang lelaki yang didakwa melakukan cubaan membunuh dengan serangan bom paip pada satu acara pilihan raya dihadiri bekas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, dua tahun lepas.

Menurut Agensi Berita Kyodo, Ryuji Kimura, 25, didakwa melemparkan satu alat letupan ke arah Kishida, yang sedang berjalan berhampiran orang ramai yang sedang mendengar ucapan kempen di Bandar Wakayama, barat Jepun, pada April 2023.

Kejadian berlaku kurang setahun selepas pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

"Bahan letupan itu boleh membunuh dan bertujuan untuk membunuh. Ia adalah tindakan ganas dan jahat yang menyasarkan perdana menteri yang sedang memegang jawatan dan melibatkan ramai orang," kata seorang pendakwa raya di Mahkamah Daerah Wakayama.

Pendakwaan dibuat berdasarkan analisis polis dan ahli sains forensik yang mendapati alat itu berkuasa menembusi papan lapis setebal 9 milimeter dengan kelajuan yang cukup untuk memecahkan tengkorak manusia.

Bom itu dilemparkan ke arah lebih daripada 100 orang dan letupan itu mampu membunuh sesiapa sahaja, kata pendakwa raya.

"Menyerang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan boleh memberi impak yang besar terhadap politik negara. Ia menggoncang asas demokrasi dan memberi kesan kepada kempen pilihan raya yang seterusnya," kata pendakwa raya.

Kimura menafikan niatnya untuk membunuh, dengan berkata semasa perbicaraan yang dia tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya dan hanya mahu menarik perhatian orang ramai dengan mencetuskan gangguan pada acara yang dihadiri oleh seorang ahli politik terkenal.

Sementara itu, peguam belanya berhujah, Kimura tidak sepatutnya dikenakan tuduhan cubaan membunuh, kerana dia tidak menjangka bom itu akan menyebabkan kecederaan.

Sementara itu, Kimura mengaku bersalah pada Isnin atas tuduhan mengganggu pilihan raya di bawah Undang-Undang Pilihan Raya Pejabat Awam dengan mengakui dia tahu Kishida akan menghadiri acara yang berkaitan dengan pilihan raya.

Sebelum ini dia menafikan tuduhan itu dengan mengatakan dia tidak tahu yang satu pilihan raya kecil sedang diadakan.

Menurut dakwaan, Kimura pergi ke pelabuhan tangkapan ikan di Wakayama pada 15 April 2023, ketika Kishida sedang bersiap sedia untuk berucap menjelang pilihan raya kecil Dewan Perwakilan.

Letupan bom paip buatan sendiri itu menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang anggota polis dan seorang orang awam. Kishida tidak cedera.

-- BERNAMA-KYODO