JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membangunkan sistem kemasukan pelajar antarabangsa untuk memastikan sijil yang dihantar melalui permohonan adalah sahih dan setaraf dengan kelayakan memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata langkah itu adalah antara 10 agenda transformasi pendidikan tinggi yang digariskan kementerian berkenaan tahun ini.

Beliau berkata sebuah jawatankuasa juga sudah dibentuk dan perbincangan awal untuk mencari formula serta kaedah terbaik sedang berjalan.

"Sistem pemusatan pelajar antarabangsa ini akan menggunakan sistem algoritma dan teknologi rantaian blok atau blockchain yang dibangunkan.

"Sistem ini membolehkan ia membuat pengesahan segera kelayakan dan sijil dikemukakan pelajar antarabangsa, dan Malaysia akan bekerjasama dengan negara asal pelajar antarabangsa yang membuat permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UTM Dr Mohd Shafry Salim.

Zambry berkata ketika ini Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memantau kemasukan pelajar antarabangsa ke negara ini, namun proses itu memakan masa yang agak panjang.

"Objektif KPT adalah untuk memastikan sesiapa yang datang belajar ke negara kita, dari segi kelayakan dan sijil yang digunakan mestilah sahih dan sah.

"Kebimbangan kami adalah bagaimana nak memastikan permohonan (pelajar antarabangsa) yang masuk dan belajar ke negara bukan hanya Malaysia tetapi negara-negara lain dapat disahihkan dan disahkan dari segi kelayakan serta sijil-sijil yang dikemukakan," katanya.

Zambry berkata sembilan lagi agenda transformasi pendidikan tinggi termasuk kajian semula kenaikan pangkat di KPT, kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, kebebasan bersuara di universiti (Akta 605), mengkaji semula akta IPT swasta (Akta 555) dan pindaan Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti.

Beliau berkata baki lima lagi ialah mewujudkan unit Pelan Hala Tuju Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi Negara (RDICE) di setiap IPT, mengkaji beban kerja ahli akademik, mengkaji IPT letak di bawah kerajaan negeri, struktur semula pejabat Education Malaysia (EM) dan pemusatan kemasukan antarabangsa.

Sementara itu, Zambry berkata kementerian itu turut menggariskan tujuh fokus utama hala tuju pendidikan 2025 selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035, dan lima daripada tujuh fokus utama adalah lanjutan fokus tahun lepas.

"Penambahan dua fokus baharu itu ialah Kemampanan Kewangan IPT dan Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus.

"Lima fokus tahun lepas ialah Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Kewibawaan Akademia dan Warga Kampus, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi serta Governan dan Kepemimpinan," katanya.

-- BERNAMA