MOSCOW: Academy of Motion Picture Arts and Sciences menunda pengumuman pencalonan untuk Anugerah Oscars yang akan datang selama dua hari ke 19 Jan berikutan kebakaran hutan yang berterusan di kawasan Los Angeles, lapor media Amerika Syarikat (AS) pada Khamis memetik surat daripada akademi itu, menurut Sputnik/RIA Novosti.

"Kami ingin menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas akibat kebakaran dahsyat di seluruh California Selatan. Ramai ahli kami dan rakan industri tinggal dan bekerja di kawasan Los Angeles, dan kami sentiasa memikirkan anda," menurut surat yang disiarkan oleh CBS News itu.

Akademi turut memanjangkan tempoh pengundian untuk memilih pencalonan selama dua hari sehingga 14 Jan.

Majlis Anugerah Oscars 2025 dijadualkan berlangsung pada 2 Mac.

Beberapa kebakaran hutan telah berlaku di dalam dan sekitar Los Angeles, California, sejak Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya lima kematian dan memaksa puluhan ribu penduduk berpindah. Presiden Joe Biden meluluskan pembiayaan persekutuan untuk mereka yang terjejas dan membatalkan lawatan yang dijadualkan ke Itali untuk memberi tumpuan kepada langkah tindak balas.

-- BERNAMA