SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan amalan kartel dalam sektor pertanian negara mesti dan wajib dihentikan.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa amalan kartel dalam sektor pertanian, termasuk import benih dan baja, mesti dihentikan segera untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah terbaik untuk petani, nelayan, dan pekebun kecil.
  • Anwar menekankan kepentingan mewujudkan ekosistem pertanian yang holistik dan mampan, dengan tidak hanya bergantung kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sahaja.
  • Perdana Menteri berharap subsidi yang diberikan kepada petani, nelayan, dan pekebun kecil akan memberikan pulangan yang baik, dan beliau yakin dengan kemajuan yang dicapai di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu.


Anwar berkata amalan lama mengimport benih secara kartel dan monopoli perlu dihentikan serta-merta dan segala keputusan yang dibuat haruslah berdasarkan fakta, serta mengambil kira apa yang terbaik untuk petani, nelayan dan pekebun kecil di negara ini.

"Kalau nak jamin produktiviti maka seluruh ekosistem itu harus teratur, sama ada melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) khususnya atau kementerian lain. Kemudian benih dan baja tidak boleh secara kartel dan monopoli seperti dahulu.

"Sebab itu kita perlu satu menteri dan KSU (ketua setiausaha) yang tegas dan keras menyatakan bahawa amalan kartel lama import baja mesti dan wajib dihentikan," katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, timbalannya Datuk Arthur Joseph Kurup dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sektor makanan menjadi antara tonggak utama yang harus negara hasilkan dan diberikan tumpuan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata adalah penting untuk memastikan satu ekosistem yang holistik dan mampan dengan tidak hanya bergantung kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sahaja.

"FAMA menjadi tonggak... prestasi FAMA jauh lebih baik sekarang. Sebab itu saya kata ekosistem mesti berjalan, kementerian pertanian ini kementerian yang besar, kementerian yang punya tanggungjawab yang sangat penting dan strategik bagi negara kita," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap agar setiap subsidi yang diberikan kerajaan kepada petani, nelayan dan pekebun kecil, berupaya memberikan pulangan yang baik kepada mereka.

"Ini sebenarnya tugas yang diamanahkan kepada KPKM dan saya lihat walaupun bergerak agak bertahap tahun yang pertama, tapi masuk ke tahun kedua di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu saya tengok tahap kelajuan itu meyakinkan," katanya.

Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata sektor agromakanan menyumbang sebanyak 10.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tempoh suku pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan petanda baik kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata sumbangan itu direkodkan melalui tiga sub-sektor agromakanan yang meliputi 3.1 peratus sektor pertanian, sektor pembuatan (2.2 peratus) dan sektor perkhidmatan (5.6 peratus).

Bertemakan 'Menuai Harapan Membina Masa Hadapan', MAHA 2024 yang memasuki edisi ke-100 menyasarkan kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung.

-- BERNAMA.