Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dicapai menerusi pertemuan empat mata dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam pada Khamis.
Dalam lawatan To Lam selama tiga hari sehingga 23 November ini, Anwar berkata, kedua-dua negara sepakat untuk memperkukuh hubungan bilateral lebih komprehensif.
"To Lam mempunyai pendirian yang sangat terbuka dan menyokong usaha kita, begitu juga dengan para pemimpin di Vietnam. Saya percaya kami sudah menyatakan penghargaan kami ini.
"Oleh itu, kami akan memastikan kerjasama dalam semua bidang dapat dipermudahkan termasuk dalam sektor pertahanan, maritim, seperti dua perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara MATRADE dan Petronas, digital serta tenaga melalui Grid Kuasa ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama To Lam selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di Bangunan Perdana Putra, di sini, pada Khamis.
Dalam masa sama, Anwar memaklumkan, kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam industri perikanan berdasarkan nilai kepercayaan dan persahabatan.
"Ini dibuktikan melalui usaha Vietnam yang menyokong perniagaan Malaysia di negara mereka yang kini melebihi AS$13 bilion dengan 700 projek. Ini menunjukkan sokongan Vietnam sangat positif dan diharap ia terus memberi sokongan kepada kami sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” ujarnya.
Anwar berkata, Kuala Lumpur juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Vietnam kelapan awal tahun depan yang akan dipengerusikan bersama oleh kedua-dua Menteri Luar Negeri.
Kedua-dua pemimpin sebelum itu menyaksikan pertukaran MoU dalam Memperkukuh Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dengan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE) dan antara PETRONAS dengan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.