Memberitahu Dewan Rakyat, Perdana Menteri berkata temu bual tersebut diambil luar daripada konteks yang tepat, dan menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal iaitu tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Malah, Anwar berkata beliau sudah menyuarakan pendirian Malaysia sekeras-kerasnya mengenai kezaliman rejim Israel terhadap Palestin di pelbagai platform antarabangsa.
"Dari zaman Tunku Abdul Rahman, Malaysia tidak iktiraf Israel sampai sekarang. Jadi dibezakan antara pengiktirafan ‘de facto’ yang saya sebut, ya, kalau iktiraf dia ‘de facto’ mana-mana negara yang diiktiraf ‘de facto’ tidak boleh diserang.
"Jadi sebab itu mana-mana negara kalau ‘de facto’ dia boleh pertahankan negara dia... lepas itu kalau dengar saya dalam konteks, saya serang Israel habis-habisan...
"Tak tahu apa lagi cara saya boleh buat, di Riyadh, Lima dan Rio de Janeiro, suara Malaysia itu paling keras. Jadi sebab itu, saya tidak faham mengapa perkara ini dipolitikkan padahal, kalau tahu... rakan-rakan saya di depan (pembangkang), kerajaan dulu pesawat Israel pun boleh masuk.
"Kalau tak setuju satu dua perkara, tak mengapa lah... Saya tak mahu berbalah mengenai perkara itu. Tetapi tidak benar, untuk dikaitkan dan menghina dalam keadaan kita berperang dalam isu ini. Ini bukan isu politik... Ini isu yang lahir daripada keyakinan kita dan perjuangan selama berpuluh-puluh tahun," kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Mohammed Taufi Johari (PN-Sungai Petani) mengenai salah tanggapan dalam kalangan masyarakat dan pihak pembangkang berhubung video pendek wawancara Anwar bersama hos agensi media antarabangsa CNN, Richard Quest, baru-baru ini.