Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, kesemua projek berkenaan akan menyediakan lebih 7,000 unit RMM, yang dibina khusus untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40).
"Sebaik siap, unit baharu ini akan memberikan kemudahan yang lebih baik dan menyumbang kepada matlamat kementerian yang lebih besar untuk menyediakan 500,000 unit RMM di bawah RMK-12," katanya yang ditemui pada program Sentuhan Kasih KPKT Labuan - Pemberian Kunci Kepada Penerima PRR Batu Arang, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, inisiatif RMM (untuk B40 dan M40) sedang dilaksanakan melalui beberapa agensi utama termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perumahan PR1MA.
Beliau berkata, setakat ini, 166 projek perumahan membabitkan 104,081 unit telah disiapkan di seluruh negara.
"Selain itu, 16 projek melibatkan 5,823 unit rumah sedang dibina," katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan 204 projek PRR termasuk dalam fasa perancangan telah memberi manfaat dan akan terus memanfaatkan 117,171 keluarga daripada golongan B40.
"Pelaksanaan projek perumahan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik dan mampan kepada masyarakat berpendapatan rendah.
"Di pusat bandar seperti Lembah Klang, dengan kemampuan memiliki rumah menjadi kebimbangan utama, KPKT bekerjasama rapat dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk memastikan golongan B40 mempunyai akses kepada RMM," katanya.
Beliau juga menekankan peranan penting kerajaan negeri dalam menyediakan tanah untuk pelaksanaan projek PRR. - BERNAMA