Pakar-pakar antarabangsa perlu menggemblengkan usaha bagi menghadapi cabaran menjejaki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata Duta Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa.

Beliau berkata ini untuk mengelakkan berulangnya tragedi seperti ini yang belum pernah berlaku sebelumnya.

"Para jurutera dan pakar teknikal industri penerbangan harus bersatu untuk menghadapi cabaran susulan kehilangan MH370.

"Kami (Jepun) akan terus membantu dalam misi mencari dan menyelamat yang dilancarkan oleh Malaysia. Pagi tadi, dua lagi pesawat berlepas dari Subang ke Perth untuk meneruskan operasi bantuan," kata Miyagawa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen pada Rabu.

Ketika ditanya sama ada Jepun menetapkan tempoh tertentu untuk membantu Malaysia dalam misi mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, Miyagawa menjawab: "Saya fikir pesawat akan terus digunakan selagi kerajaan Malaysia memerlukannya."

Mengenai pertemuannya selama setengah jam dengan Pandikar Amin, beliau berkata kunjungan itu adalah kesempatannya yang pertama selepas beliau menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 31 Mac.

"Tujuan kunjungan adalah untuk bertanyakan perkabaran kepada Speaker Dewan Rakyat dan membincangkan pelbagai perkara tentang bagaimana kedua-dua negara menjalin hubungan lebih mesra dan erat," kata beliau.

Miyagawa berkata semasa pertemuannya dengan Pandikar Amin, beliau mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih yang ikhlas atas bantuan rakyat dan kerajaan Malaysia apabila Jepun dilanda tsunami pada 2011.

"Saya juga melahirkan simpati kepada rakyat Malaysia semasa menghadapi keadaan yang sukar susulan kehilangan MH370," katanya.

Sejak hari kelima operasi mencari dan menyelamat, Tokyo telah menghantar pasukan Bantuan Bencana Jepun (JDR) susulan permintaan Kuala Lumpur bagi bantuan untuk mencari MH370 yang hilang.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi mencari yang disertai pelbagai negara dikerah bagi menjejaki pesawat, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koriror - koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand - dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Berdasarkan analisis terbaharu data satelit yang belum pernah dibuat sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan bahawa Penerbangan MH370 terbang melalui koridor selatan dan bahawa kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac, tujuh belas hari selepas pesawat Boeing 777-200ER itu dilaporkan hilang bahawa Penerbangan MH370 telah "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Baru-baru ini, kapal pertahanan Australia, Ocean Shield mengesan dua isyarat akustik semasa menjalankan pencarian di selatan Lautan Hindi selepas mengesan isyarat yang sama pada Ahad sementara kapal China, Haixun 01, mengesan dua isyarat pada Jumaat dan Sabtu minggu lepas.

Isyarat itu adalah petunjuk baharu dalam usaha pencarian.-- BERNAMA