KUALA LUMPUR: Ultimate Print Sdn Bhd (Ultimate Print) sasar untuk kembangkan kepakaran dalam bidang percetakan keselamatan menerusi kerjasama dengan firma milik kerajaan Turkiye di bawah Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan iaitu Darphane.


Ringkasan AI
  • Ultimate Print Sdn Bhd bekerjasama dengan Darphane, firma milik kerajaan Turkiye, untuk mengembangkan kepakaran dalam bidang percetakan keselamatan di Malaysia dan pasaran Asia. Kerjasama ini melibatkan pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu.
  • Ultimate Print, dengan pengalaman lima tahun dalam percetakan keselamatan, berharap kerjasama ini akan meningkatkan kemahiran mereka, terutama dalam percetakan kad pengenalan dan pasport. Darphane mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini dan telah meneroka pasaran Eropah.
  • Kerjasama ini dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan di Malaysia, termasuk kawalan sempadan dan pencegahan pemalsuan. Ultimate Print berharap dapat menawarkan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azizi Fickry berkata, inisiatif berkenaan bakal melibatkan pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu antara dua pihak dalam memajukan perniagaan itu di Malaysia serta pasaran Asia.

"Sebelum ini, Darphane sudah meneroka pasaran Eropah tetapi dari Asia belum ada. Jadi, mereka memilih Malaysia dan Ultimate Print sebagai rakan strategik baharu.

"Skop percetakan keselamatan sebenarnya besar tetapi yang bakal membangunkan lagi kepakaran kita dalam bidang ini adalah menerusi kecanggihan teknologi milik Darphane.

"Tawaran yang bakal ditawarkan kepada kerajaan Malaysia akan dikembangkan melalui kemahiran firma berkenaan dalam percetakan kad pengenalan dan pasport kerana pengalaman luas dalam bidang ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ultimate Print dan Darphane, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel; Ketua Pengarah Darphane, Abdullah Yasir Sahin; Timbalan Pengarah Darphane, Mehmet Hekim dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Mengulas lanjut, Azizi memaklumkan, Darphane menjalankan perniagaan secara eksport dan melibatkan kerjasama dengan beberapa negara lain.

Jelasnya, setiap negara yang terlibat ada keperluan masing-masing dan kepakaran mereka meningkat kerana sentiasa ada kepakaran serta teknologi baharu.

Ujarnya, di Malaysia pula Ultimate Print belum mempunyai kepakaran kerana tumpuan hanya diberikan kepada produk persendirian dan domestik sahaja.

"Bagi pengalaman di Ultimate Print, kita sudah lima tahun dalam pencetakan keselamatan dan antara kerjasama yang paling besar kita buat adalah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan (JPJ) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Jadi kita tidak kosong, maknanya kita bukan tiada pengalaman tapi kita memerlukan kepakaran yang lebih tinggi sebab itulah kita memilih Darphane sebagai rakan strategik dalam bidang ini," katanya.

Menurut Azizi, pihak Ultimate Print berharap kerjasama tersebut bakal membantu pihaknya untuk memberikan perkhidmatan dan produk terbaik untuk kerajaan dan rakyat Malaysia.

Ujarnya, kelebihan yang ada itu bakal memberi peluang kepada semua pihak untuk merasai faedah daripada teknologi yang ditawarkan kelak.

"Jadi, ia akan membantu daripada segi kawalan di sempadan dan pemalsuan. Bagi saya, kita tawar sesuatu yang produk yang bagus untuk penguatkuasaan serta kerajaan.

"Diharapkan dengan kerjasama baharu yang terjalin ini, ia akan memberi banyak kelebihan khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia," tambah beliau.

Ultimate Print dan Darphane menandatangani MoU bagi memperkukuhkan hubungan dan kerjasama memajukan industri teknologi percetakan di Malaysia.

Objektif perjanjian tersebut untuk membina hubungan formal antara kedua-dua entiti perniagaan berkenaan.

Selain itu, kerjasama tersebut dijangka memberi pelbagai faedah kepada ekonomi dan industri percetakan negara ini.

Menerusi pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan inovasi, sekali gus membolehkan Ultimate Print menawarkan perkhidmatan berkualiti tinggi di rantau ini.

Sebagai rekod, Ultimate Print merupakan sebuah syarikat percetakan unggul di Malaysia dengan pengalaman lebih 30 tahun yang menyediakan perkhidmatan percetakan buku, digital, pembungkusan, akhbar dan al-Quran.

Sementara itu, Darphane pula merupakan sebuah firma milik kerajaan Turkiye di bawah Kementerian Perbendaharaan dan Kewangan yang ditubuhkan pada 1467 sewaktu pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Firma itu berpangkalan di Istanbul itu bertanggungjawab mengendalikan penghasilan syiling, wang kertas, cop mohor rasmi, pingat dan setem hasil. -Sinar Harian