PUTRAJAYA: Selepas dua jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dilihat meninggalkan bangunan tersebut sekitar jam 4.05 petang.


Ringkasan AI
  • Sesi Keterangan di SPRM: Datin Vivy Yusof meninggalkan Ibu Pejabat SPRM selepas dua jam memberi keterangan berhubung kerugian pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM43.9 juta, sementara suaminya masih berada di dalam bangunan.
  • Pembekuan Akaun dan Sitaan: SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pasangan tersebut bernilai kira-kira RM1.1 juta serta menyita beberapa tas tangan dan jam tangan mewah bernilai kira-kira RM200,000.
  • Siasatan di Bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009: Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, dengan pasangan tersebut dipanggil untuk membantu siasatan selama tiga hari berturut-turut.


Namun suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tidak menaiki kenderaan tersebut, dipercayai masih berada di dalam bangunan.

Tinjauan media mendapati, turut menaiki kenderaan bersama Vivy ialah peguamnya dan seorang pegawai SPRM.

Selain itu terdapat dua lagi kenderaan dipercayai membawa beberapa lagi pegawai SPRM turut mengiringi kenderaan Vivy.

Terdahulu pasangan suami isteri tersebut tiba di Ibu Pejabat SPRM bagi menyambung sesi keterangan berhubung kerugian pelaburan Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd berjumlah RM43.9 juta.

Mereka tiba di perkarangan ibu pejabat SPRM sekitar jam 2.30 petang menaiki sebuah kenderaan SUV berwarna hitam.

Untuk rekod, hari ini merupakan hari ketiga pasangan tersebut dipanggil pihak SPRM bagi membantu siasatan, yang dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Media sebelum ini melaporkan pasangan suami isteri tersebut akan hadir pada pukul 10 pagi hari ini, namun telah ditunda ke jam 2 petang.

Pada 6 November, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.

Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.

Menurut sumber, sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish' telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.

Selain itu beberapa tas beg tangan dan seutas jam tangan mewah bernilai kira-kira RM200,000 turut disita dari premis pasangan tersebut.