JEPUN 1 AUSTRALIA 1

Australia menamatkan rekod permulaan sempurna Jepun dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia Zon Asia apabila mengikat kedudukan 1-1 di Stadium Saitama malam tadi.

Gol sendiri Shogo Taniguchi memberikan Australia kelebihan pada minit ke-58 tetapi kesilapan Camron Burgess di gawang bertentangan menyelamatkan maruah Samurai Biru pada 14 minit terakhir.

Australia kini melonjak ke tangga kedua kumpulan C dengan lima mata selepas empat perlawanan, empat mata daripadanya terhasil di bawah bimbingan Tony Popovic, yang menggantikan Graham Arnold sebagai ketua jurulatih pasukan itu hujung bulan lalu.

Dalam pada itu, Jepun, yang sebelum ini mencatatkan kemenangan dalam kesemua tiga perlawanan pertama, kekal di tangga teratas dengan 10 mata.