SYDNEY: Sebuah penerbangan domestik Qantas melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Brisbane, timur laut Australia pada Selasa akibat kerosakan brek, lapor Xinhua.

Pesawat QF1929 yang berlepas dari Lapangan Terbang Brisbane menuju Adelaide pada pukul 8.20 pagi waktu tempatan, berpatah balik kira-kira 40 minit selepas berlepas.

Jurucakap Qantas berkata pesawat jenis Embraer E-190 mengalami masalah mekanikal melibatkan brek gear pendaratan. 

“Penerbangan dari Brisbane ke Brisbane terpaksa berpatah balik sejurus selepas berlepas disebabkan masalah brek gear pendaratan.

“Kami memahami situasi ini mungkin mencemaskan penumpang dan berterima kasih atas kerjasama mereka mematuhi arahan kru,” katanya. 

Pihak Qantas kini sedang berusaha memastikan semua penumpang dapat meneruskan perjalanan ke Adelaide secepat mungkin. 

Seorang penumpang, Tudor Vasile memberitahu stesen radio Nine Entertainment bahawa juruterbang memaklumkan semasa penerbangan bahawa brek pesawat terkunci dan boleh menyebabkan tayar meletup ketika pendaratan. 

Vasile berkata penumpang diarahkan untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan impak kecemasan, namun berasa lega apabila pesawat berjaya mendarat dengan selamat.

Kenderaan perkhidmatan kecemasan turut dikerah ke lokasi pendaratan. 

Pesawat berkenaan kini akan menjalani pemeriksaan oleh pasukan jurutera sebelum dibenarkan kembali beroperasi.


-- BERNAMA