Matt Kean, pengerusi Pihak Berkuasa Perubahan Iklim (CCA) yang merupakan badan bebas kerajaan, pada Ahad berkata kesan global daripada kemenangan Trump akan menangguhkan nasihat agensi itu mengenai sasaran 2035 selama beberapa bulan.
Di bawah terma Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim, Australia diwajibkan untuk komited kepada sasaran pengurangan pelepasan 2035 menjelang Februari.
Namun, di bawah undang-undang Australia kerajaan tidak boleh menetapkan sasaran 2035 tanpa nasihat daripada CCA.
Kean memberitahu akhbar Nine Entertainment pada Ahad kemenangan Trump memerlukan penilaian semula dan pengiraan semula andaian yang membentuk nasihat CCA kepada kerajaan.
"Kemenangan Donald Trump, kenyataannya mengenai perubahan iklim dan pendirian beliau terhadap dasar tenaga dijangka memberi impak global," katanya.
"Kami akan melakukan kajian lanjut dan pemodelan yang akan mengambil kira pendekatan baharu Amerika terhadap mitigasi perubahan iklim, tindak balas dunia dan kesannya terhadap rantaian bekalan global."
Chris Bowen, Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Australia berkata pada Oktober bahawa pengumuman sasaran 2035 mungkin ditangguhkan selepas Februari, malah sehingga pilihan raya umum 2025 yang perlu diadakan sebelum Mei.
Laporan utama yang diterbitkan oleh CCA pada September menyatakan Australia perlu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 75% daripada paras 2005 menjelang 2035 untuk mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius berbanding paras praindustri.
Ia juga menyatakan pengurangan sebanyak 57% diperlukan untuk mengehadkan pemanasan kepada 2 darjah Celsius.
Australia menyatakan komitmen untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekurang-kurangnya 43% daripada paras 2005 menjelang 2030 dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Bowen mendakwa dalam ucapan di Parlimen pada November bahawa Australia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 2030.
-- BERNAMA