Terdapat lebih 45,000 pusat pengundian di seluruh negara untuk lebih 105 juta pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Lebih 1,300 calon bertanding, termasuk 314 wanita yang mencatat rekod.
Dalam pilihan raya ini, setiap pengundi akan membuat dua undian, satu untuk memilih calon di kawasan kerusi tunggal dan satu lagi untuk memilih parti bagi perwakilan berkadar.
Jepun mempunyai 289 daerah kawasan kerusi tunggal dan 11 blok perwakilan berkadar.
Sebuah parti atau gabungan memerlukan 233 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Dalam pembentukan kerajaan sebelum ini, Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah mempunyai 256 kerusi daripada 465 ahli Dewan Perwakilan, manakala rakan gabungannya, Parti Komeito memiliki 32 kerusi dalam parlimen yang baru-baru ini dibubarkan.
LDP, yang sebahagian besarnya telah memerintah Jepun sejak 1955, dijangka menghadapi cabaran sengit kali ini daripada parti pembangkang utama, Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ).
Tinjauan menunjukkan CDPJ yang sebelum ini mempunyai 98 kerusi mungkin memperoleh sehingga 140 kerusi, yang akan meletakkan LDP dalam kedudukan di mana gabungan dengan Komeito adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.
Pesaing utama lain dalam parlimen sebelum ini ialah Parti Inovasi Jepun dengan 44 kerusi, diikuti Parti Komunis Jepun dengan 10 kerusi.
-- BERNAMA