Sementara itu, Naib Presiden Kamala Harris, calon Parti Demokrat, telah menerima jemputan untuk debat dianjurkan saluran CNN pada 23 Oktober.
Trump yang menjadi calon Republikan itu memaklumkan dalam satu perhimpunan bahawa ia adalah "terlalu lewat" kerana pengundian sudahpun bermula.
Pasukan kempen Harris berkata, memandangkan bekas presiden itu mendakwa telah menang dalam debat mereka sebelum ini di Philadelphia awal bulan ini, beliau seharusnya menerima cabaran itu.
Tinjauan yang dibuat selepas debat itu menunjukkan majoriti penonton percaya naib presiden itu telah mengatasi pencabarnya.
Selepas debat pada 10 September, Trump berkata tiada lagi debat yang akan diadakan.
Berucap di sebuah perhimpunan di Wilmington, North Carolina pada Sabtu, beliau mengakui telah menang dalam pertemuan awal itu dan berkata "ia sudah terlalu lewat" untuk debat lain.
"Pengundian sudah pun bermula," ucap Trump menuduh Harris ingin melakukan pusingan lagi "kerana dia mengalami kalah teruk."
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, pengerusi kempen Harris-Walz, Jen O'Malley Dillon berkata rakyat Amerika "berhak mendapat peluang lain" melihat Harris dan Trump berdebat sebelum pilihan raya November.
"Ia akan menjadi sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah moden jika hanya ada satu debat pilihan raya umum.
"Debat menawarkan peluang unik untuk pengundi melihat calon berdiri bersebelahan dan menilai visi mereka yang bersaing untuk Amerika," katanya.
Di platform X, Harris berkata beliau "dengan gembira" menerima jemputan debat dan berharap Trump juga akan menyertainya.
CNN telah menyatakan bahawa debat yang berpotensi ini akan mengikuti format sama seperti yang disiarkan pada bulan Jun antara Trump dan Presiden Joe Biden.