Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kumpulan tersebut mampu menewaskan pelbagai dasar kerajaan dengan hanya serangan yang dipaparkan di skrin media sosial mereka.
Menurutnya, mereka akan menilai berdasarkan apa yang mereka peroleh, baca dan perhatikan di pelbagai platform media sosial.
"Beberapa tahun lepas, kita juga berhadapan dengan ledakan kebangkitan Gen Z dan golongan milennial.
"Apabila undi 18 dilaksanakan, kita digempur dari segenap penjuru oleh Gen Z dan milennial. Dan akhirnya kita tergelincir dari puncak kuasa," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini semalam.
Mohamad berkata, realitinya ruang demokrasi negara kini telah berada di persada maya.
"Bagi mereka, itu adalah ruang paling baik untuk mereka berpartisipasi dalam demokrasi.
"Tidak ada fasa dalam peradaban politik, yang menyaksikan gelombang demokrasi digital lebih memberi impak dan cabaran,berbanding waktu ini," katanya.
Katanya, rakyat telah menyaksikan kejatuhan Kerajaan Bangladesh akibat desakan yang berterusan daripada generasi muda.
"Kita juga melihat kebangkitan politik Gen Z ini di pelbagai negara lain. Di Perancis, Iran, Kenya dan banyak lagi," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan sayap parti khususnya Pemuda dan Puteri UMNO agar mengambil perhatian serius dalam berdepan cabaran berkenaan.
"Malah mungkin tiba masanya kita menggunakan Gen Z sebagai pemacu utama kempen kita.
"Ini zaman mereka. Kita mentadbir di zaman mereka. Apa salah nya kita memberikan ruang dan peluang, untuk mereka mengurus kempen kita untuk generasi mereka," katanya. - Sinar Harian