KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Kuantan hari ini membenarkan permohonan bekas model dan pelakon, Zahnita Wilson untuk mendapat perintah perlindungan interim (IPO).

Keputusan itu diputuskan oleh Majistret Wahida Zainal Abidin dalam prosiding yang berlangsung hari ini.

IPO merupakan peruntukan dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 bagi memberi perlindungan perundangan sementara untuk mangsa, anak-anak serta saudara maranya.

Memetik laporan Kosmo!, peguam Zahnita, Datuk Zaharman Zainal Abidin berkata, pihaknya memohon IPO daripada mahkamah di bawah Seksyen 5, 6, dan 7 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Jelas beliau, IPO itu bagi melindungi Zahnita daripada terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Menerusi IPO ini, suami Zahnita yang sudah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323/326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 tidak boleh menghampiri mangsa dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Sementara itu,  Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson ketika ditemui media dilihat tidak dapat menahan sebak dan menyifatkan keputusan mahkamah sebagai kebebasan buatnya dan anak-anak.

Prosiding berkenaan turut dihadiri suami Zahnita, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor yang diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Pada 5 Disember lalu, Abd Zackery didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isteri dan dadah.

Bagaimanapun, tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut pertuduhan, Abd Zackery didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Zahnita, 39, di sebuah rumah di Indera Mahkota, Kuantan pada jam 8.20 pagi pada 7 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh sehingga setahun atau denda yang boleh sehingga RM2,000atau dengan kedua-duanya.