Tertuduh, Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Bapa kepada empat anak itu, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Zahnita atau nama sebenar Zahnita Dorothy Hussien Wilson di sebuah rumah di Lorong Indera Mahkota, di sini, jam 8.20 pagi pada 7 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan penjara selama tempoh sehingga setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, B Deevagaran Naidu menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dikurangkan atas alasan menanggung empat anak dan ibunya yang sudah tua.
Majistret Tengku Eliana kemudian membenarkan kontraktor itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 Januari tahun hadapan.
Di Mahkamah Majistret berasingan, tiada pengakuan direkodkan oleh tertuduh di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, berkaitan penggunaan dadah.
Dia didakwa menggunakan dadah berbahaya iaitu 11-nor-delta-9-Tetrahydronnabinol-9-Carboxylic Acid di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, jam 5.45 petang, pada 2 Disember lalu.
Abd Zackery Ghouse didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama dan dibaca Bersama seksyen 38B akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,600 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 7 Februari depan. - Sinar Harian