Penuntut lelaki itu ditahan ketika melintasi sekatan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), dekat sini, jam 9 malam.
Hasil ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap penuntut berusia 23 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis ganja.
Penuntut yang berasal dari Perak itu mendakwa baru kali pertama mencuba mengambil dadah berkenaan namun tidak menyangka akan ‘tersangkut’ melalui ujian air kencing.
"Pertama kali saya ambil (dadah)… saya seorang saja yang sangkut tetapi tiga lagi kawan saya negatif.
"Saya ambil dadah tu di sebuah kedai makan selepas dipelawa oleh pekerja kedai itu untuk mencuba. Lepas ini, saya janji saya tak ambil dadah lagi," katanya ketika ditemui di Kompleks ICQS, di sini, malam tadi.
Sementara itu Pengarah AADK Kedah, Khairul Anwar Ahmad berkata, operasi itu bermula jam 6 pagi semalam hingga 12 tengah malam tadi ketika pintu pagar sempadan negara Malaysia-Thailand ditutup.
Beliau berkata, tujuan operasi ini dilakukan adalah untuk mengesan penyalahgunaan dan penagih dadah yang masuk melalui pintu sempadan negara sempena Tahun Baharu 2025.
"Sepanjang operasi, sebanyak 15 buah kenderaan diperiksa dan 45 individu diminta menjalani ujian saringan awal air kencing.
"Bagaimanapun, 16 daripadanya didapati positif dadah dan kebanyakan daripadanya adalah golongan belia sekitar 18 hingga awal 39 tahun," katanya dalam sidang media selepas operasi berakhir.
Khairul Anwar berkata, daripada 16 individu yang positif itu, 14 daripadanya adalah lelaki dan dua wanita.
Beliau berkata, enam daripadanya didapati positif dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) atau ecstacy manakala lima individu lagi positif Benzodiazepine (ubat penenang), tiga daripadanya positif tetrahydrocannabinol (THC) atau ganja dan dua lagi dikesan positif mitragynine atau ketum.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) (a) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 untuk tindakan lanjut.
Khairul Anwar berkata, hasil siasatan AADK mendapati kebanyakan mereka yang ditahan itu didapati pengguna kali pertama mencuba atau hanya mengambil dadah di tempat hiburan untuk berseronok.
Beliau berpendapat, individu-individu pertama kali mengambil dadah masih berpeluang untuk berubah dan tidak terjebak dengan penagihan yang lebih serius.
"Pihak AADK akan meneruskan lagi operasi seperti ini dengan lebih kerap selepas ini kerana kita memandang serius isu penyalahgunaan dadah di sempadan negara… mereka yang bermula dengan sekadar mencuba secara suka-suka boleh membawa kepada penagihan lebih serius.
"Di samping mengesan penyalahgunaan dadah, kita turut mengesan penyalahgunaan bahan seperti ketum (mitragynine) melalui pelaksanaan ujian saringan air kencing.
"Ini bertujuan untuk memberi peluang atau intervensi awal kepada penyalahgunaan bahan supaya menghentikan tabiat ini serta mendapatkan rawatan dan pemulihan dengan kadar segera sebelum keadaan menjadi lebih parah," ujarnya.