Pihak berkuasa Myanmar menyelamatkan mangsa dari KK Park dan Shwe Kokko, dua bandar sempadan yang terkenal dengan aktiviti pemerdagangan manusia, sebelum memindahkan mereka ke Thailand bagi proses dokumentasi dan penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Thailand, Phumtham Wechayachai berkata mangsa dibawa masuk ke Thailand melalui pusat pemeriksaan Ban Chong Khaep di Daerah Phop Phra, Wilayah Tak.
"Sebaik tiba di Thailand, mangsa akan menjalani saringan ketat di bawah Mekanisme Rujukan Nasional (NRM), sistem yang direka untuk memberikan bantuan dan perlindungan kepada mangsa pemerdagangan manusia," katanya kepada media pada Rabu.
Beliau berkata selepas proses saringan, Kementerian Luar Thailand akan berkoordinasi dengan kedutaan masing-masing bagi melengkapkan dokumentasi yang diperlukan serta mengatur kepulangan segera mangsa ke negara asal mereka.
Phumtham menegaskan bahawa Thailand tidak mempunyai dasar untuk menubuhkan pusat perlindungan atau penempatan sementara bagi individu terbabit, dengan mengambil kira risiko keselamatan serta kemungkinan mangsa kembali terperangkap dalam jaringan pemerdagangan manusia.
"Kerajaan Thailand mempunyai dasar tegas dalam membanteras pemerdagangan manusia. Pemeriksaan latar belakang akan dilakukan dengan teliti ke atas setiap individu bagi memastikan mereka tidak mempunyai kaitan dengan sindiket sebelum dihantar pulang," katanya.
Myawaddy menjadi hab utama jaringan pemerdagangan manusia, memperdaya pekerja dari pelbagai negara untuk terlibat dalam aktiviti haram termasuk penipuan pusat panggilan, perjudian dalam talian, dan buruh paksa di kilang-kilang haram.
Phumtham menegaskan bahawa proses pemindahan dan penghantaran pulang mangsa adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Thailand dan Myanmar dalam usaha membanteras sindiket pemerdagangan manusia serta memastikan mangsa selamat kembali ke tanah air masing-masing.
Beliau turut mengulangi komitmen Thailand untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa dan negara jiran bagi membanteras pemerdagangan manusia serta mencegah kejadian serupa pada masa akan datang.
-- BERNAMA