KUALA LUMPUR: Masyarakat disaran untuk mengubah persepsi terhadap penagih dan penyalahguna dadah yang telah menjalani proses rawatan dan pemulihan.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, ini bagi memastikan mereka tidak kembali terjerumus ke dalam kancah penagihan dan penyalahgunaan dadah.

"Masalah di luar sana adalah bila mereka bekerja, pada peringkat awal dapat kerja tetapi setelah dua tiga bulan, majikan tahu bahawa klien kita pernah berada di pusat pemulihan kita di PUSPEN (Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik).

"Sebaik sahaja mereka tahu, klien kita dibuang kerja. Ini adalah satu cabaran... jadi kita bukan hanya perlu merawat dan memulih penagih tetapi di luar sana (masyarakat) pun kita perlu mendidik mereka. Itu peranan AADK secara berterusan," ujarnya dalam program AWANI Pagi sebagai mengulas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024.

Sokong, jangan hakimi mereka yang pulih dari dadah - KP AADK

Jelas beliau, antara perbezaan selepas akta tersebut dipinda adalah perluasan akses kepada rawatan dan pemulihan dadah.

Katanya, peruntukan baharu mengenai rawatan dan pemulihan penyalahgunaan dadah juga memberi punca kuasa kepada Majistret memerintahkan penyalah guna dadah atau bahan untuk menjalani rawatan dan pemulihan dalam komuniti sehingga 2 tahun atau di Pusat Pemulihan sehingga tempoh 6 bulan.

Tambah beliau, pindaan akta itu juga membuka ruang yang cukup luas kepada mereka yang inginkan rawatan dan pemulihan secara sukarela.