KUALA LUMPUR: Datuk Ruslin Jusoh dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang baharu berkuat kuasa hari ini (17 September).

AADK dalam kenyataan memaklumkan pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah AADK yang ke-13 adalah bagi kekosongan dan menggantikan Sutekno Ahmad  Belon yang bertukar ke Kementerian Sumber Manusia sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) sejak 26 April lalu.

"Sehubungan itu, AADK merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Datuk Ruslin atas pelantikan ini," kata kenyataan itu hari ini.

Ruslin berpengalaman selama lebih 28 tahun dalam perkhidmatan awam melalui lantikan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1995.

Beliau juga pernah memegang jawatan utama antaranya Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.

AADK dalam kenyataan sama turut menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada  Sutekno atas khidmat bakti sepanjang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah AADK.