Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata dengan adanya pindaan ini, mereka yang memerlukan rawatan dalam penagihan dadah boleh datang secara sukarela ke mana-mana pusat pemulihan agensi itu.
Katanya meskipun proses secara sukarela sudah ada sebelum ini, namun perlu melalui proses yang panjang sehingga mencecah tiga bulan.
“Namun, dengan adanya pindaan ini, pegawai pemulihan AADK boleh melakukan penilaian kepada mereka yang datang secara sukarela dengan maksimum hanya lima hari.
“Seterusnya menempatkan mereka di mana-mana pusat pemulihan AADK ke institusi dan komuniti mengikut tahap keparahan penagihan masing-masing dan diberikan rawatan sesegera yang mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam Program Sembang Santai Ketua Pengarah AADK di Putrajaya pada Rabu.
Melalui pindaan ini, Ruslin berkata mereka yang terlibat dalam penagihan mempunyai peluang lebih cerah dan diberikan rawatan sebagai pesakit dan bukanya penjenayah.
“Apa yang paling penting melalui pindaan ini, rekod jenayah mereka yang datang secara sukarela ini tidak akan direkodkan.
“Kita aspek akan ramai dalam kalangan mereka yang sudah terjebak dalam kancah ini datang kepada kita untuk dapatkan rawatan,” ujarnya.
Katanya lagi, AADK sedang giat melakukan persiapan dari segi pegawai pemulihan, latihan, fasiliti sehingga pindaan ini di kuat kuasakan.
“AADK akan turut membuka fasiliti yang dikenali sebagai pusat penilaian dadah. Melalui itu, mereka yang datang kepada kita secara sukarela akan dinilai tanpa melalui proses mahkamah,” katanya lagi.