KLANG: Majikan disaran menjadikan usaha menangani isu penyalahgunaan dadah sebagai agenda utama bagi membantu mewujudkan persekitaran selamat di tempat kerja, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Ruslin Jusoh.

Beliau berkata AADK sedia bekerjasama melaksanakan program berimpak tinggi dalam memastikan tempat kerja yang kondusif, selamat dan bebas daripada bahan terlarang yang bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah penagih tetapi mencegah jenayah dan mengelakkan nama baik organisasi terjejas.

“Isu ini perlu menjadi agenda utama ketua jabatan dan majikan kerana ia antara penentu yang boleh mempengaruhi tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya dalam ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) antara AADK dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok dan turut dihadiri Datuk Bandar MBDK Datuk Abd Hamid Hussain.

Ruslin berkata MBDK merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang memberi komitmen secara bertulis berhubung pelaksanaan TEKAD, yang mencerminkan kepekaan dalam merealisasikan usaha menjadikan tempat kerja bebas dadah yang diharap dicontohi PBT lain.

Beliau juga menekankan mengenai jumlah penagih dadah yang meningkat kepada 169,691 orang setakat Sept lepas, berbanding 145,526 pada akhir 2023 dengan 1,035 daripadanya pekerja di sektor awam.

Sementara itu, Abd Hamid berkata pihaknya telah mengaktifkan Jawatankuasa TEKAD bagi menjayakan program berkenaan dan kerjasama yang dijalin dengan AADK sejak 2016 menyaksikan 29 ujian saringan air kencing secara mengejut telah dilakukan di samping taklimat berkala kepada petugas mengenai pencegahan penyalahgunaan dadah.

“Sejak 2016 hingga kini, 10 pekerja MBDK dikesan terlibat dadah namun kesemua mereka telah pulih sepenuhnya selepas menghadiri program pemulihan AADK. Kami mengambil serius perkara ini dan yakin MoU yang ditandatangani menjadi langkah permulaan ke arah mewujudkan tempat kerja bebas dadah,” katanya.

-- BERNAMA