TANGERANG: Seorang lelaki yang menjadi buruan polis berhubung kes penipuan, Jefry Rarun, 54, ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila mayatnya dipotong kepada lapan bahagian dan disimpan dalam peti sejuk di sebuah rumah di Villa Regency, Kelurahan Gelam Jaya, Kecamatan Pasar Kemis, Kabupaten Tangerang.

Menurut laporan media tempatan, mayat Jefry ditemui oleh pihak berkuasa pada 14 Mac 2025 sekitar jam 11 malam waktu tempatan selepas pasukan penyiasat dari Polis Jakarta Utara menjalankan operasi pencarian.

Sebelum itu, Jefry telah diburu polis sejak 2023 sebelum akhirnya ditemui pada hari tersebut.

Ketua Polis Daerah Tangerang, Kombes Pol Baktiar Joko Mujiono berkata, pasukan penyiasat tiba di rumah tersebut bagi menjejaki Jefry. Namun, mereka hanya menemui sepupunya, Marcellino Rarun, yang ketika itu berada di lokasi.

"Ketika pemeriksaan dijalankan, pihak kami menemui sebuah peti sejuk yang mencurigakan kerana ia dikunci dengan mangga dan dirantai.

"Setelah penggeledahan dilakukan, kami berjaya menemui potongan tubuh manusia yang telah dikerat kepada lapan bahagian di dalam peti sejuk tersebut. Selain itu, turut ditemui sehelai seluar pendek hitam yang dipercayai milik mangsa," katanya kepada wartawan pada Jumaat.

Siasatan awal mengesahkan bahawa Jefry dibunuh oleh sepupunya sendiri, Marcellino Rarun. Polis percaya motif pembunuhan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati dan dendam peribadi Marcellino terhadap Jefry.

Marcellino kini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 340 Kanun Keseksaan Indonesia berhubung pembunuhan terancang serta Seksyen 338 Kanun Keseksaan berhubung pembunuhan.


Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup. – Sinar harian memetik agensi