Perintah reman dikeluarkan Majistret Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman
Suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan kira-kira jam 8.30 pagi dan selesai reman setengah jam kemudian.
Sebelum ini peragawati dan pelakon itu mendakwa menjadi mangsa keganasan dilakukan suaminya apabila mendedahkan wajahnya yang lebam di bahagian mata menerusi hantaran terkini dimuat naik di Instagram.
Zahnita memberitahu dia terpaksa mendedahkan perkara itu kepada umum sekali gus menjawab persoalan ramai mengapa sering memakai cermin mata hitam.
Ekoran kejadian berlaku pagi Isnin lalu membuatkan Zahnita nekad mendedahkan kekerasan yang didakwa dilakukan suaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penahanan suami Zahnita pada Isnin.
Menurutnya, kes disiasat bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ingin keluar rumah dan tinggal berasingan dipercayai punca pelakon itu menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati keputusan itu menyebabkan suami mangsa marah dan bertindak ke atas wanita itu.
"Berikutan itu, laporan polis dibuat oleh mangsa pada 27 November lalu dan suami mangsa ditahan semalam, selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.
"Hari ini suspek dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan tahanan reman," katanya ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini pada Selasa. - Sinar Harian