KUALA LUMPUR: Pelakon dan bekas model, Zahnita Wilson,39, yang didakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga  mengejutkan pengikutnya apabila memadam semua hantaran terdahulu di laman Instagram miliknya.

Bagaimanapun, ibu kepada empat orang anak itu memuat naik hantaran baharu untuk menzahirkan tanda terima kasih kepada pengikut yang memberikan semangat dan sokongan untuknya.

“Assalamualaikum… terima kasih semua di atas ucapan dan sokongan. Saya akan bersama anda tidak lama lagi,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Zahnita kini kembali aktif menjual pai di Instagram dan meminta pelanggan produk Zahnita's Humble Pie itu supaya membuat pesanan melalui dua rakan perniagaannya. 

“Tempahan untuk pai kini dibuka. I love you 3000,” tulisnya.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi daripada rakan-rakan dan peminat yang rata-rata memberikan kata- kata positif dan mahu membeli pai tanda sokongan kepadanya.

“Kalian semua, tolong sokong bisnes dia untuk dia berjuang demi dirinya dan anak-anak. Kita nak Zahnita Kuliah Cinta kembali. Pernah makan pai dia. Memang sedap. Berbaloi,” komen pengikutnya.

Terdahulu, industri digemparkan dengan pendedahan Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, yang mendakwa dipukul suaminya.

Susulan itu, suaminya direman tiga hari mulai Selasa (Disember 3) oleh  Mahkamah Majistret Kuantan untuk membantu siasatan selepas dia mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman
.