JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) seorang warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda bukan Muslim yang dikatakan tidak berpuasa pada Ahad lalu.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Razak Ismail, 65, yang didakwa menampar seorang pemuda bukan Muslim.
  • Abdul Razak didakwa mendatangkan kecederaan terhadap pemuda berusia 21 tahun dan mengaku bersalah, tetapi pengakuan ditolak kerana beberapa fakta tidak tepat.
  • Kejadian berlaku apabila Abdul Razak menampar pemuda tersebut yang makan secara terbuka pada bulan Ramadan, menyebabkan ketegangan dan kecederaan.


Majistret, A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

Terdahulu, kes berkenaan sempat menjalani prosiding apabila orang kena saman (OKS), Abdul Razak Ismail, 65, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret.

Abdul Razak didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemuda berusia 21 tahun di premis kedai serbaneka di sebuah pusat beli belah di sini, kira-kira jam 3.45 petang pada 16 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Lelaki tampar ketika Ramadan diberi DNAA, kes dirujuk AGC


Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila Abdul Razak bertindak menampar pipi kanan mangsa sehingga mangsa mengalami lebam yang kemudiannya disahkan oleh pegawai kesihatan.

Bagaimanapun, Abdul Razak menyatakan beberapa fakta yang dibacakan adalah tidak tepat menyebabkan majistret menolak pengakuan bersalah Abdul Razak berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan mahkamah bahawa kes berkenaan akan dituduh semula selepas AGC meneliti semula kertas siasatan.

Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas berkenaan kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di sini.

Berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.

Pemuda itu yang enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa telah dimarahi warga emas berkenaan yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.