KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan seorang lelaki warga emas yang bertindak menampar pemuda bukan Islam kerana makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, sebarang tindakan seperti ini atau seumpama dengannya perlu dihentikan semata-mata kerana ia bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.

"Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan.

"Perdana Menteri percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa ini boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara yang bertamadun," katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, pada Rabu.

Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki yang juga warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.

Pada Rabu, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas tanpa membebaskan (DNAA) warga emas yang didakwa menampar seorang pemuda yang dikatakan 'tidak berpuasa', Ahad lalu.

Majistret A Shaarmini membuat keputusan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam memaklumkan mendapat arahan untuk merujuk semula kertas siasatan kes berkenaan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.