PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kepentingan kesederhanaan dalam penganjuran majlis berbuka puasa serta sumbangan kerajaan bagi memastikan semangat Ramadan benar-benar dihayati.

Ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini, Perdana Menteri menekankan agar perbelanjaan kerajaan lebih berhemat dan tidak digunakan untuk perkara kurang bermanfaat.

"Saya perhatikan juga kadang-kadang perkakasan itu agak berlebih. Kotak-kotak sangat indah untuk mengisi kurma.

“Kalau harga kotak lebih mahal daripada harga kurma, bagi saya ia satu pembaziran," kata beliau.

Hadir sama kedua-dua Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Perdana Menteri, Ramadan bukan sahaja mengukuhkan keyakinan dalam ibadah kepada Allah
SWT, tetapi juga memupuk integriti, disiplin, dan kejujuran dalam kehidupan seharian. 

Aspek kemanusiaan, kata Anwar, perlu diberi perhatian agar umat Islam lebih insaf, bukan sekadar memeriahkan acara berbuka puasa.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan supaya tidak terlalu menonjolkan kemewahan kerana dana yang ada boleh dimanfaatkan untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Perdana Menteri menasihati orang ramai agar tidak terjebak dalam persaingan menyediakan kotak hadiah yang lebih mewah, sebaliknya menumpukan kepada nilai kebersamaan dan keikhlasan dalam memberi.