Umno Pulau Pinang menyatakan sokongan terhadap gesaan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta para pengguna menggunakan hak dan kuasa mereka untuk memboikot peniaga yang enggan menurunkan harga barang.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, gesaan itu adalah ‘munasabah’ kerana ia membabitkan hak pengguna tanpa mengira kaum.

Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, apa yang disuarakan oleh Ismail Sabri adalah demi kepentingan pengguna dan berharap isu itu tidak dibincangkan di luar konteks sehingga boleh menjejaskan asas perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini.

Katanya, gesaan itu hanya berkaitan dengan kuasa pengguna agar memboikot peniaga yang berdegil dan enggan menurunkan harga barangan biarpun kerajaan telah menurunkan harga minyak.

“Beliau adalah seorang bekas Menteri KPDNKK dan beliau amat mahir dan arif tentang kedudukan naik dan turun harga kerana dikawal dan dimanipulasi oleh pihak pemborong tertentu.

"Itu sebab beliau keluarkan kenyataan meminta pengguna boikot dan minta supaya sikap haloba pemborong (dibantah),” kata Reezal kepada media bagi menyatakan pendirian berhubung isu gesaan boikot kepada pemborong dan peniaga Cina di negara ini yang masih berdegil menurunkan harga barangan dan servis.

Hadir sama Setiausaha Umno negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan barisan kepimpinan Umno negeri.

Pada Isnin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan di media sosial menggesa pengguna bersatu memberi tekanan kepada peniaga dengan memboikot pemborong dan peniaga yang enggan menurunkan harga barangan yang tidak memberi faedah kepada pengguna Melayu.