Bin Shen, yang bakal meletakkan jawatannya pada 13 Jan ini, berkata bahawa 40 peratus lagi hasratnya belum tercapai, termasuk tidak berjaya mengemudi bekas juara dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
"Sudah tentu, apabila menyertai BAM (Persatuan Badminton Malaysia), saya mempunyai sasaran sendiri, banyak antaranya di Sukan Olimpik 2024, namun emas masih belum tercapai.
"Bagi saya, Sukan Olimpik 2024 menjadi antara yang paling berharga kerana ini kali pertama saya ke sana. Saya dapat rasakan ramai yang berharap agar beregu lelaki (Aaron-Wooi Yik) meraih emas, tetapi mereka hanya berjaya sampai separuh akhir," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, hari ini.
Aaron-Wooi Yik kemudian menampilkan semangat juang tinggi apabila bangkit mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik dengan menumpaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 16-21, 22-20, 21-19.
Bin Shen pada masa yang sama berpuas hati dapat melihat peningkatan prestasi pemain beregu lelaki negara sepanjang mereka berada di bawah naungannya, termasuk Muhammad Haikal Nazri dan Wan Arif Wan Junaidi yang telah meraih kejayaan di beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Jurulatih berusia 40 tahun itu turut berharap agar anak buahnya dapat memberi hadiah perpisahan dengan merangkul gelaran Terbuka Malaysia 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 12 Jan ini. Kejohanan tersebut merupakan tugasan terakhirnya sebelum beliau menyertai skuad badminton Hong Kong pada Februari depan.
Mengenai tugasannya di Hong Kong, Bin Shen berkata beliau diberi kontrak selama dua tahun untuk menjadi jurulatih skuad beregu mereka, termasuk menyelia beregu wanita dan campuran.
"Skuad Hong Kong tidak besar, jadi semua kategori (beregu) akan menjalani latihan bersama," katanya, sambil menambah bahawa beliau akan menyertai dua lagi jurulatih Malaysia di Hong Kong, iaitu Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng.
Dalam pada itu, beliau berkata bekas pemain perseorangan lelaki negara Wong Choong Hann, yang kini menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong, merupakan individu penting yang 'melamarnya' untuk mengembangkan sayapnya di luar negara.
"Beberapa bulan lalu, dia (Choong Hann) ada mendekati saya di kejohanan, namun ketika itu saya masih tidak pasti kerana perlu memikirkan tentang keluarga," katanya.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata beliau masih belum memikirkan rancangan untuk membawa ahli keluarganya ke Hong Kong dan akan bergerak keseorangan ke sana terlebih dahulu.
-- BERNAMA