Annuar Al Shadat Kadi, 53, berkata ubi amat digemari ramai semasa musim banjir di sini kerana ia mudah untuk dimasak, di samping menjadi sumber karbohidrat yang mengenyangkan.
Beliau yang lebih dikenali di sini sebagai Nuar Durian berkata sejak banjir mulai melanda sekitar sini beberapa minggu lepas, beliau mampu menjual 500 hingga 700 kilogram ubi setiap hari.
"Setiap kali banjir, orang akan tertarik membeli ubi, mereka balik rumah dan masak ubi panas-panas, memang sangat sedap dan mengenyangkan, dan ubi menjadi makanan yang sangat popular ketika cuaca sejuk kerana ia mudah dimasak, sesuai dijadikan hidangan pemanas tubuh.
"Ia juga mudah disimpan khususnya bagi keluarga yang rumah mereka terkesan banjir," katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Jalan Bukit Besi di sini, yang menawarkan pelbagai jenis buah-buahan dan ubi antaranya ubi kayu, ubi keledek, ubi yakun, dan ubi itik
Annuar yang sudah mula berniaga sejak berumur enam tahun bagaimanapun berkata pada musim ini bekalan ubi sedikit terjejas kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan stok yang mencukupi.
Bagi seorang anggota polis Zainal Mohd Noah, 58, ubi merupakan antara makanan yang wajib dibeli setiap kali musim banjir kerana rasanya yang lazat dan boleh dijadikan pelbagai jenis hidangan mudah.
"Ubi ini kalau direbus dan makan dengan sambal bilis, parut kelapa dan gula pun sudah lazat. Setiap kali musim hujan atau banjir, memang saya akan beli untuk keluarga saya kerana ia berkhasiat," katanya.
-- BERNAMA