Pengarah Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata pihaknya telah membuat semakan dan mendapati wanita berusia 49 tahun terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan sama ada di hospital atau klinik kesihatan.
"Bagaimanapun kita (Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu) tidak pasti jika dia (wanita) ada dapat rawatan di tempat atau negeri lain," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai yang mempunyai ahli keluarga mengalami masalah mental supaya tampil mendapatkan rawatan.
"Masyarakat perlu ubah mentaliti mengenai penyakit mental. Usah malu untuk dapatkan rawatan.
"Ahli keluarga dan masyarakat perlu memberi sokongan kepada mereka (pesakit mental) untuk mendapat rawatan sewajarnya dan sembuh seperti sediakala," katanya.
Kemalangan di Jalan Pantai Sura, Dungun itu menyebabkan Khairil Anwar Jamaludin, 20, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, yang menaiki motosikal Yamaha LC135 serta Yamaha Y15 meninggal dunia di lokasi kejadian.
Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, pula cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.
Pemandu wanita terbabit kini direman hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA