Kepakaran serta pengalaman berharga Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar sewaktu berkhidmat dalam dunia korporat, sangat bernilai buat negara dan telah banyak membantu ekonomi negara berkembang, puji Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau menyifatkan Abdul Wahid, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, itu sebagai pejuang Bumiputera.

"Beliau begitu teliti semasa memberikan penerangan berhubung dasar-dasar kerajaan, khususnya Bumiputera, kepada rakan-rakan kita dari 11 negara TPPA yang lain.

"Kenapa beliau dapat berbuat demikian? Kerana beliau seorang pejuang Bumiputera, bukan sahaja (sewaktu berkhidmat) di Maybank, Telekom Malaysia, bahkan di banyak lagi tempat yang beliau pernah berkhidmat," katanya.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan hujahnya pada sesi pergulungan perbahasan mengenai usul TPPA bagi kementerian itu pada Mesyuarat Khas Dewan Negara di sini hari ini.

Abdul Wahid, yang sentiasa kelihatan tenang dan sopan dalam menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh pihak pembangkang, merupakan antara anggota Dewan Negara termuda dan paling berpengalaman dalam bidang perniagaan, kata Mustapa.

"Beliau (Abdul Wahid) turut menjadi tutor kepada beberapa tokoh dari negara jiran, termasuk Amerika Syarikat. Jadi saya bertuah kerana Datuk Seri Wahid membantu saya di samping Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Datuk Seri Idris Jala," katanya.

BACA: Dewan Negara lulus usul TPPA

BACA: Usul penyertaan Malaysia dalam TPPA diluluskan Dewan Rakyat

BACA: Kerajaan kini sedia hadapi cabaran, peluang menerusi pelaksanaan TPPA

Bercakap kepada Bernama selepas sesi pergulungan TPPA, Abdul Wahid berkata Bumiputera sentiasa menjadi agenda utama beliau sejak berada dalam dunia korporat dan setelah dilantik menjadi Senator.

"Saya di sini atas sebab dasar-dasar Bumiputera. Saya berasal dari keluarga miskin yang telah diberi peluang untuk belajar di sekolah berasrama penuh.

"Kemudiannya diberikan biasiswa (Majlis Amanah Rakyat) untuk melanjutkan pelajaran dalam 'professional accountancy' di United Kingdom. Dengan peluang tersebutlah saya berjaya mendapatkan satu kerjaya yang baik.
"Tanpa dasar Bumiputera, saya tidak akan berada di sini," katanya.

Abdul Wahid ialah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank sejak 1 Mei 2008 dan CEO Telekom Malaysia Bhd pada 2004.

Pada 5 Jun 2013, beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara di hadapan Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, Yang di-Pertua Dewan Negara.